PORT DICKSON – Polis akan memanggil Datuk Seri Anwar Ibrahim dan merakam keterangannya berhubung status kontroversi kenyataan meliwat yang dimuat naik Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam pada Ahad lepas.

Kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga mendakwa kononnya Anwar sedang disiasat pihak berkuasa Singapura kerana terlibat dalam kes liwat melibatkan seorang pelajar Indonesia di negara republik itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor berkata, setakat ini polis telah selesai mengambil keterangan daripada empat orang iaitu Pengarah Komunikasi Strategik PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Lokman.

“Dua lagi keterangan diambil daripada agensi media tempatan dan Singapura yang melaporkan berita itu dan mereka memberi kerjasama penuh kepada polis.

“Dalam masa terdekat juga, polis akan panggil Anwar (calon Pakatan Harapn) akan merakam keterangan Anwar.

“Beliau (Anwar) telah sedia maklum perkara ini dan akan memberikan kerjasama kepada polis,” katanya dalam sidang media khas di ibu pejabat polis itu di sini.

Mohd Faisal yang ditanya mengenai perkembangan semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson berkata, sebanyak 22 permohonan permit ceramah dikeluarkan PRK dalam tempoh empat hari.

“Daripada jumlah itu 11 permit untuk PH, enam untuk Pas,lima untuk calon Bebas.

“Sehingga hari ini sebanyak 42 program telah berlangsung dalam tempoh berkempen yang memasuki hari keenam.

“Polis menasihati semua calon dan penyokong setiap calon berparti dan bebas supaya mematuhi peraturan kempen ditetapkan tanpa mencetuskan provokasi.

“Kita tidak mahu keselesaan penduduk tempatan dan pelancong terganggu akibat program kempen,” katanya.

Sementara itu, Mohd Faisal berkata, seramai 577 anggota polis dan 6,693 anggota tentera akan mengundi awal pada Selasa ini. – MalaysiaGazette