Wan Saiful Wan Jan.
Wan Saiful Wan Jan

PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersedia menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Wan Saiful Wan Jai, salah satu parti dalam gabungan itu maklum tentang perjanjian Pakatan Harapan (PH) sebelum ini bahawa Pengerusi PPBM akan berundur dalam tempoh tertentu untuk memberi laluan kepada Anwar.

“Tidak jadi masalah bagi kita memang kita jangkakan bahawa perjanjian itu akan dihormati.

“Kita (PPBM) daripada awal  bersedia (pertukaran Perdana Menteri) daripada sebelum tubuh kerajaan kita sudah bersedia bahawa selepas Tun M, Datuk Seri Anwar akan jadi PM,” katanya kepada pemberita. 

Mengulas lanjut Wan Saiful yakin bahawa cuba melaga-lagakan Mahathir dengan Anwar tidak akan terhenti, sebaliknya menyifatkan UMNO akan terus menggunakan isu itu untuk memecahbelahkan PH. 

“Tun sendiri banyak kali menyebut ada suara-suara di luar yang cuba mempersoalkan mewujudkan ruang di antara pemimpin ini dan usaha itu saya yakin tidak akan berjayalah.

“Pada waktu yang sama saya yakin bahawa usaha itu akan diteruskan, ini benda biasa cubaan wujudkan perpecahan tapi di peringkat atas berfungsi dengan efektif.

“UMNO sekiranya tidak ada isu yang nak ditimbulkan apa lagi dia nak cakap,” tambahnya. 

Bagaimanapun kata Wan Saiful yang juga Timbalan Pengarah Biro Strategik dan Dasar PPBM, sehingga kini tiada bukti yang menunjukkan Mahathir menghalang Anwar menggantikannya.

“Setakat ini tidak ada bukti menunjukkan bahawa ada usaha untuk ke arah itu. 

“Tun M sebut banyak kali perjanjiannya Datuk Seri Anwar akan gantikannya kita berpegang dengan pandangan itu,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette