Lim Kit Siang

PORT DICKSON – Penasihat DAP, Lim Kit Siang kurang senang dan kecewa dengan kerajaan baharu Pakatan Harapan yang menggunapakai Akta Hasutan pada masa kini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, rakyat memerlukan Malaysia baharu dan berpendapat peggunaan sebarang akta yang menindas rakyat harus dikaji semula.

“Saya tidak setuju dengan penggunaan akta yang menindas rakyat, Akta Hasutan 1946 kerana terdapat akta lain yang sewaktu dengannya yang boleh diguna pakai pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media selepas bertemu komuniti Cina di DS Kopitiam, DUN Lukut pagi tadi.

Beliau disertai calon Pakatan Harapan Pilihan Raya Kecil Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kit Siang berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai penahanan adik kepada Datuk Lokman Noor Adam di bawah Akta Hasutan oleh pihak berkuasa.

Penahanan Azman Noor Adam itu dilihat kerajaan PH masih menggunakan Akta hasutan untuk menahan warga tempatan walaupun pernah mendakwa akta itu bertentangan dengan semangat perubahan yang diinginkan rakyat.

Tambah beliau, sebarang kesungguhan dalam penggunaan undang-undang menindas perlu dikaji dan diteliti semula.

Namun beliau enggan mengulas lanjut pertanyaan wartawan sama ada beliau akan membawa perkara itu ke sidang Parlimen pada 15 Oktober ini bagi mencadangkan pemansuhan atau  menyemak semula Akta Hasutan.

“Anda (pemberita) harapkan tajuk utama, saya tidak pentingkan tajuk utama,” katanya secara ringkas.

Dalam pada itu Lim Kit Siang turut diminta pandanganya mengenai dakwaan Pas bahawa Anwar Ibrahim tidak layak bertanding di Parlimen Port Dickson kerana tidak mendapat pengampunan bebas Yang DiPertuan Agong (YDPA).

Beliau dengan ringkas membalas:” Saya rasa Pas telah merendahkan dirinya dengan memainkan peranan kecil dalam politik Malaysia”. – MalaysiaGazette