KUALA LUMPUR – Semua Pengarah Pendidikan Negeri diminta meluluskan cuti acara atau cuti gantian untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang telah dipohon sempena Deepavali tahun ini.

Kelulusan sekolah yang memohon cuti itu akan diberikan oleh Pengarah Pelajaran masing-masing.

Menurut Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, bagi SJKT di negeri-negeri kumpulan A iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor cuti itu akan bermula dari 4 hingga 6 November dan sekolah-sekolah boleh memohon cuti acara pada 7 dan 8 November.

Tambahnya, untuk SJKT di negeri-negeri dalam kumpulan B (selain daripada negeri-negeri dalam kumpulan A), cuti ini dari 5 hingga 7 November,

Sekolah-sekolah di negeri-negeri kumpulan ini boleh memohon cuti acara pada 8 dan 9 November.

Kementerian Pendidikan berkata, sekiranya bilangan cuti acara sekolah telah habis dan masih memerlukan cuti tambahan, sekolah boleh memohon cuti gantian. – MalaysiaGazette