Dwikorita Karnawati .foto Agensi

JAKARTA – Ketua Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofisik (BMKG) Indonesia diarahkan berhenti selepas amaran tsunami tidak dipasang semasa bencana alam itu berlaku di tengah Sulawesi Jumaat lalu.

Tsunami itu berlaku selepas sistem amaran ditutup lebih awal.

Anggota Suruhanjaya Dewan yang bertemu dengan pegawai dari agensi itu pada Rabu lalu menyalahkan ketuanya, Dr Dwikorita Karnawati ekoran tsunami yang mengorbankan 1,424 orang mangsa selepas kawasan itu dilanda gempa bumi dengan 7.4 magnitud.

Kecuaian BMKG adalah satu kesilapan, kata Ahli Suruhanjaya itu, Anthon Sihombing.

Katanya, Dr Dwikorita, 54, yang mengetuai agensi itu sejak November 2017 tidak lagi sesuai untuk mengetuai agensi berkenaan.

“Saya telah meminta beliau melepaskan jawatan,” ujarnya.

Anthon berkata, kenyataan Dwikorita adalah sangat mengelirukan atau sangat berbeza daripada realiti.

“Hakikatnya, sebagai ketua, beliau perlu melaporkan keadaan dengan jelas,” kata Anthon.

“Dalam hal ini kerajaan perlu memilih seseorang yang kompeten, baik dalam pekerjaan mereka maupun dalam memberikan penjelasan kepada orang ramai,” tambahnya.

Dwikorita berulang kali mempertahankan keputusan agensinya untuk mengeluarkan amaran tsunami kira-kira setengah jam selepas ia berbuat demikian, enggan meninggalkan jawatannya.

“Sekiranya saya meletakkan jawatan, ini bermakna saya seorang pengecut. Ini bermakna saya tidak berani menghadapi masalah yang belum selesai,” katanya sambil memohon maaf atas nama agensi itu.

Beliau mengulangi berkata, BMKG tidak menamatkan amaran tsunami sebelum waktunya.

Dr Dwikorita memberitahu media tempatan pada Ahad lalu tiga ombak melanda pantai ibu kota Palu sekitar petang Jumaat lalu.

Hanya selepas gelombang ketiga – yang paling tinggi – amaran tsunami berakhir beberapa minit kemudian pada pukul 6.37 petang.

Tidak ada lagi gelombang selepas amaran itu berakhir, tegasnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan