Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim

PORT DICKSON – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui beliau letih untuk terus menentang Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pentas politik.

Anwar berkata, perjalanan hidupya di dalam dalam penjara selama lebih 10 tahun umpama watak Rajinikanth, dalam Sivaji The Boss yang menentang kejahatan dengan cara tersendiri.

“Letih lawan Mahathir, mula kawan baik. Tan Sri Rais tahu masa saya masuk UMNO tahun 1982, saya dengan Tun Mahathir ini pasukan yang cukup hebat.

“Lepas tu lawan macam Sivaji The Boss. Lawan habis-habisan, tetapi sekarang kita bincang bila kita lawan kalau negeri itu lebih baik tak apa,” katanya dalam siri ceramah di Taman Desa, Port Dickson

Turut hadir calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim dan Ketua Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad.

Beliau berkata semasa Dr Mahathir datang berjumpanya di mahkamah, mereka berdua sepakat untuk melupakan segala pertelingkahan dan fokus dalam menyelamatkan negara.

“Saya tabik Tun Mahathir, masa dia jumpa saya umur dia 92 tahun, saya tidak jumpa dia 18 tahun. Saya tengok dia dah lain. Rasa rindu pulak.

“Orang macam-macam tuduh, kata Dr Mahathir pakat dengan Anwar.

“Dia kata saya jadi PM sekarang, lepas itu awak pula.

“Itu tidak betul, masa itu tidak bangkit tapi hanya kita bincang tidak ada pilihan lain, kita kena selamatkan negara. Kita patut berpakat,” katanya di hadapan lebih 50 pengundi di kawasan tersebut.

Kesepakatan mereka terserlah apabila buat pertama kalinya, Dr Mahathir memutuskan untuk turun berkempen di Port Dickson bagi memastikan Anwar mendapat laluan ke Dewan Rakyat dan menjadi pengganti beliau.

Namun laluan Anwar tidak mudah apabila beliau dicabar enam lagi pencabar antaranya Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar mewakili Pas, dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dan Saiful Bukhari Azlan sebagai calon bebas.

Empat yang lain adalah personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong, Lau Seck Yan, dan Kan Chee Yuen. -MalaysiaGazette