Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengesahkan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei telah didiagnosis menghidap barah hidung peringkat awal.
Datuk Lee Chong Wei.

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akan pulang ke tanah air dari Taiwan, esok.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria memberitahu, Chong Wei baru sahaja mendapat pelepasan untuk kembali ke Kuala Lumpur daripada pasukan perubatan yang merawatnya.

“Saya amat berbesar hati untuk memaklumkan kepada anda bahawa Chong Wei baharu sahaja dibenarkan pulang ke Kuala Lumpur oleh pasukan perubatan esok.

“Bagi pihak BAM, saya menggesa pihak media dan rakyat Malaysia supaya menghormati privasi beliau dan keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengenai laporan beliau semalam, Norza berkata, penafian dibuat kerana Chong Wei belum dibenarkan pulang ketika itu.

“Saya telah berhubung dengan legenda badminton negara berusia 36 tahun itu pada Rabu lalu.

“Pada ketika itu, dia masih belum menerima sebarang pelepasan perubatan,” katanya.

Norza turut menggesa media dan orang ramai supaya menghormati privasi Chong Wei dan keluarganya.

Bulan lalu, BAM mengesahkan Chong Wei menghidap kanser hidung tahap awal yang memaksa pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu terpaksa menggantung raket sejak Julai lalu, selain turut terlepas aksi Kejohanan Dunia dan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Beberapa media tempatan sebelum ini mendakwa Chong Wei akan kembali ke Malaysia esok dengan menaiki jet peribadi setelah selesai menjalani rawatan kanser hidung di Taiwan. – MalaysiaGazette