PORT DICKSON – Pengarah Strategik Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad menolak untuk memberikan komen mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa berhubung serbuan keatas premis yang menjadi lokasi maksiat.

Ujar Menteri Wilayah Persekutuan itu, biar Mujahid sendiri yang menjelaskan mengenai kenyataan yang dibuat beliau berhubung pelaksanaan tersebut.

“Biar Datuk Mujahid yang terangkan Isnin nanti,” katanya selepas ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson semalam.

Mujahid dalam temubual bersama akhbar The Star berkata, pihaknya percaya apa yang dilakukan oleh orang Islam di tempat tertutup bukan urusan kerajaan.

Sementara itu, Khalid dalam ucapannya berkata, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memegang tampuk Majlis Ahli-ahli Backbencher (BBC) di Dewan Rakyat sekiranya menang PRK di kawasan ini.

“Apabila jadi backbenchers dia akan berperanan bela kerajaan dengan hujan bernas dan mematahkan hujah pembangkang ini supaya rakyat yakin dengan kemampuan PH.

“Kalau kita terleka kalau boleh backbenchers yang tegur kita. Biar Anwar yang tegur kita. Ini dikatakan sepatutnya pembangkang dalaman walaupun dia bersama kerajaan.

Backbenchers mainkan peranan bila hujah pembangkang tidak betul dia akan bantai. Itu kita perlukan Anwar secepat mungkin,” katanya lagi.

Buat masa kini, BBC diterajui Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang bertindak sebagai pengerusi sementara Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng sebagai Timbalan Pengerusi. -MalaysiaGazette