Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (kiri) bercakap pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Pertanian ke-8 di Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 06 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan meningkatkan promosi untuk menarik kaum bukan Melayu mengikuti kursus pengajian yang disediakan di Institut Latihan Pertanian (ILP) di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayob berkata, bagi tujuan itu kementeriannya akan mempertanggungjawabkan kepada Timbalan Menteri, Sim Tze Tzin untuk merangka pelan berkenaan.

Katanya, setakat ini hanya 15 peratus kuota untuk bukan Melayu belum diisi dengan pelajar bukan Melayu.

“Kita akan adakan lebih banyak promosi dan beberapa perancangan untuk menambah daya tarik supaya kaum bukan Melayu dapat menyertai kursus dalam ILP.

“Timbalan saya akan mainkan peranan untuk tarik bukan Melayu menuntut di ILP,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pertanian kali ke-8 di MAEPS Serdang, dekat sini, hari ini.

Seramai 1,274 graduan menerima sijil masing-masing.

Dalam pada itu, enam penuntut dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Pingat Emas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Anugerah Khas Ketua Setiausaha Kementerian, Anugerah Khas Ketua Pengarah Pertanian, Anugerah Khas Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Anugerah Khas Ketua Pengarah Perikanan dan Anugerah Khas Pengarah Bahagian Latihan Pertanian Kementerian.

Menurut Salahuddin, apa yang membanggakan, lebih sebahagian daripada graduan yang menerima sijil itu telah mendapat pekerjaan masing-masing.

Katanya, mereka mudah mendapat peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang dan sektor itu kerana sijil ILP diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Selain itu, mereka disarankan merebut peluang pekerjaan yang disediakan kerajaan.

“Hari ini pun ada kira-kira 500 peluang kerja baharu disediakan untuk mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan