Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) memandang serius apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo membayangkan akan melantik Wan Hamidi Adbul Hamid Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bernama.

Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Wan Hamidi yang merupakan bekas Ketua Editor akhbar lidah rasmi DAP, The Rocket dan rapat dengan kepimpinan parti itu, sudah tentu tidak sesuai untuk menerajui sebuah agensi berita nasional milik kerajaan.

Selain itu, katanya, Wan Hamidi juga kini memegang jawatan Timbalan Pengarah Institusi Pemikir DAP iaitu Research for Social Advancement (Refsa).

“Pelantikan di kalangan orang politik yang mempunyai kepentingan langsung dengan parti politik adalah tidak wajar dan tidak melambangkan neutraliti yang seharusnya dimilliki oleh seorang ketua media berita seperti Bernama.

“Kita membantah cadangan itu kerana parti politik tidak sepatutnya menerajui agensi berita awam.

“Bukan sahaja akan mencemar imej dan membina persepsi negatif rakyat terhadap agensi tersebut, malah boleh mengundang isu salahguna kuasa dan kemudahan oleh parti politik,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Wan Hamidi dikatakan bakal menerajui Bernama selepas persaraan Datuk Zulkefli Salleh Oktober ini.

Menurut Mohd Azmi, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sering mengangkat isu kebebasan media dan mahukan media yang tidak dipengaruhi oleh parti politik.

Soalnya, ujar beliau, kenapa kali ini pendirian itu berubah dan adakah menteri berkenaan menunjukkan ada perubahan pendirian demi memenuhi agenda politik kepartian dalam agensi awam seperti Bernama?

“Mapim berpendirian nuetraliti media awam sangat perlu dipertahankan. Jika kerajaan terdahulu sering didakwa menyalahgunakan media awam untuk kepentingan parti politik pihak yang memerintah, kenapa sekarang hal yang sama mahu dilakukan oleh kerajaan baharu.

“Kita berpendapat CEO Bernama harus dilantik di kalangan golongan yang bebas dari parti politik. Kakitangan senior dalam Bernama yang berpengalaman dan berkelayakan boleh menjadi pilihan.

“Mereka yang sudah lama bertugas dengan Bernama boleh menjalankan tanggungjawab secara bebas dari pengaruh parti politik,” katanya.

Beliau kesal kebelakangan ini ada pelantikan politik untuk agensi awam yang dilakukan oleh kerajaan PH yang tidak selari dengan slogan mengasingkan parti politik dari pentadbiran agensi awam yang penting.

Katanya, PH harus menjaga sensitiviti awam dalam semua pelantikan agensi yang berkaitan dengan kerajaan, kalau tidak wibawa kerajaan akan dipersoalkan rakyat kerana prinsip media awam yang bebas dari parti politik dilihat tidak menjadi agenda kerajaan PH.

Beliau turut menggesa cadangan pelantikan Wan Hamidi ditarik balik dan memilih calon yang bukan dari parti politik. – MalaysiaGazette