Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menafikan laporan yang menyatakan Putrajaya ada meminta bantuan bekas menteri tugas-tugas khas Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk membantu memulihkan hubungan diplomatik Malaysia dengan Arab Saudi.
Saifuddin Abdullah

KUANTAN – Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menafikan laporan yang menyatakan Putrajaya ada meminta bantuan bekas menteri tugas-tugas khas Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk membantu memulihkan hubungan diplomatik Malaysia dengan Arab Saudi.

Menurutnya, kesahihan berita di portal berita berkenaan diragui berikutan hanya memetik ‘sumber dari Putrajaya’ tanpa diketahui siapa dan kebenarannya.

“Saya tidak ada pertemuan dengan beliau (Hishammuddin) dan Wisma Putra tidak pernah minta bantuan daripada beliau dari segi hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Apa yang berlaku ialah perbincangan antara saya dan duta Arab Saudi ke Malaysia kira-kira sebulan selepas dilantik sebagai Menteri Luar yang telah menerangkan tindakan menarik kembali tentera Malaysia dalam peperangan pakatan negara Arab pimpinan Arab Saudi terhadap Yaman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pemerkasaan Pendidikan Daerah Kuantan di Kolej Universiti Widad di sini hari ini.

Menurutnya pada pertemuan itu kerajaan Malaysia turut menerangkan sebab projek Pusat Keamanan Antabangsa Raja Salman (KSCIP) tidak diteruskan dan ini diterima baik oleh duta berkenaan.

“Kita menerima maklumbalas baik daripada kerajaan Arab Saudi malah layanan istimewa kepada jemaah haji pada tahun ini turut membuktikan hubungan baik Malaysia dan Arab Saudi masih kekal walaupun beberapa perkara atau persetujuan yang dilakukan kerajaan terdahulu telah ditarik semula,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota berkata bantuan kewangan dan barangan keperluan bernilai RM1 juta kepada mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi, Indonesia sejak dua hari lalu diterima baik oleh kerajaan Indonesia.

“Mereka terbuka menerima kehadiran beberapa pertubuhan bantuan dari Malaysia seperti Global Peace Mission Malaysia dan Mercy Malaysia yang telah berada di sana lebih awal (sejurus bencana).

“Malaysia juga menghantar bantuan melalui Asean Humanitarian Assistance (AHA) yang berpangkalan di Subang Jaya di mana barangan telah dihantar sejak beberapa hari lalu.

“Kita akan terus memberi bantuan dari semasa ke semasa mengikut keperluan mangsa di sana. Kita juga berharap mereka kembali bersemangat untuk meneruskan kehidupan selepas ditimpa bencana itu,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan