Akhbar Satar
Akhbar Satar

KUALA LUMPUR – Atasi dahulu “krisis integriti” dalam kalangan ahli politik negara ini sebelum melaksanakan sebarang mekanisme berkenaan pembiayaan politik, kata Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar.

Beliau berkata, selagi ada krisis integriti ahli politik maka sebarang mekanisma ataupun undang-undang menentang amalan rasuah dan salah guna kuasa
akan sukar dicapai serta tidak membantu memperbetulkan persepsi masyarakat berhubung isu itu.

“Ini bukan masalah undang-undang atau mekanisme.(tetapi) tiada integriti dalam kalangan ahli politik.

“Walaupun ada pelbagai undang-undang atau mekanisme sekalipun, kena cari jalan atasi masalah integriti,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Akhbar mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan masih mengkaji mekanisme terbaik berhubung pembiayaan parti-parti politik di negara ini.

Mekanisme itu bertujuan memastikan tidak berlaku kegiatan rasuah dalam pengurusan parti-parti politik kerana rasuah terbesar negara dipercayai melibatkan kalangan parti politik.

Jelas Akhbar, budaya integriti perlu ada pada setiap ahli politik kerana mereka terdiri pemimpin masyarakat dan menentukan budaya dan perjuangan parti masing-masing.

Penganalisis politik Dr Syed Agil Syed Alsagoff pula mencadangkan penubuhan sebuah badan bebas bagi memantau dan mengawal selia dana politik yang
diterima parti politik di negara ini.

Katanya, penubuhan badan itu perlu diletakkan di bawah Parlimen bagi membolehkan setiap pergerakan kewangan parti dilapor dan diisytihar kepada
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Badan ini juga akan mengeluarkan kod etika yang perlu diikuti oleh parti politik berhubung penggunaan dana politik selain mempunyai bahagian mediasi bagi menghakimi sebarang bentuk aduan salah guna kuasa yang dilakukan parti politik ini,” katanya.

Dr Syed Agil yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, mengakui setiap parti politik memerlukan dana antaranya sumbangan pelbagai pihak untuk menggerakkan aktiviti mereka, namun maklumat keluar-masuk dana perlu dipantau bagi mengelakkan penyelewengan.

“Kod etika ini dapat menjamin dana parti digunakan secara telus dan berfaedah kepada ahli dan parti,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Tian Chua berkata, selain model dari Jerman yang boleh menjadi rujukan kerajaan berhubung pelaksanaan mekanisme telus
penyaluran dana, dicadangkan parti politik juga boleh mewujudkan yayasan masing-masing.

Katanya, penubuhan yayasan khas untuk mengurus dana politik mengikut peraturan yang ditetapkan adalah lebih mudah untuk dilaksanakan.

Tian Chua berharap apa sahaja mekanisme yang diputuskan perlu adil kepada semua parti politik termasuk pembangkang tanpa memberi sebarang kelebihan kepada parti politik kerajaan.

Berhubung pelaksanaan model Jerman yang mendapat perhatian daripada kerajaan, beliau berkata, mekanisme model itu membolehkan kerajaan memberi
peruntukan dana politik mengikut peratusan sokongan yang diraih oleh sesuatu parti politik dalam pilihan raya.

“Ia diagih mengikut peratusan sokongan rakyat dalam pilihan raya, jika parti mendapat sokongan 30 peratus maka, dana yang dapat juga 30 peratus. Menerusi kaedah ini rakyat yang putuskan jumlah dana untuk parti,” katanya.

Ketua Penerangan UMNO Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah pula berharap kerajaan mengkaji semula beberapa peraturan pilihan raya umpamanya berkaitan jumlah kewangan yang boleh digunakan oleh calon peringkat
Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. – Bernama

Tinggalkan Jawapan