khairy
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bercakap kepada media selepas merasmikan majlis pembukaan gimnasium kanak-kanak pelbagai spektrum "We Rock The Specktrum" di Melawati Mall, Ampang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 06 OKTOBER 2018.

AMPANG – Dana politik bagi tujuan pembiayaan parti-parti politik di negara ini perlu dilakukan secara terbuka dan telus serta mengikut undang-undang bagi mengelakkan elemen rasuah dalam pelaksanaannya.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, parti politik yang menerima pembiayaan dana awam itu perlu mendedahkan sumber mereka dan dimaklumkan kepada umum.

“Cara terbaik ialah ia dibuat secara terbuka dan dan telus, maksudnya mana-mana parti yang menerima dana politik mestilah mengikut undang-undang, mendedahkan sumber sumbangan tersebut.

“Ia dibuat di negara-negara maju di mana setiap sumbangan dana politik mestilah didaftar dan diberitahu kepada orang ramai daripada mana dan siapa telah menyumbang dana tersebut,” katanya ketika ditemui di Melawati Mall, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang mengakui parti komponen PH kini berdepan krisis kewangan kritikal untuk menguruskan perjalanan parti.

Mahathir selaku Perdana Menteri berkata, PH masih buntu mencari formula terbaik bagaimana parti hendak mendapatkan dana politik bagi membiayai urusan perjalanan parti tanpa wujud elemen rasuah.

Katanya, ada parti komponen mencadangkan PH mengikut formula kerajaan Jerman dengan memberi peruntukan kepada parti politik supaya tidak bergantung kepada derma orang ramai.

Pada 9 Julai lalu, Mahathir mengumumkan kerajaan akan menggubal dan membentangkan undang-undang baharu berkaitan akta dana politik di Parlimen sebagai sebahagian usaha membanteras rasuah.

Langkah itu bagi membanteras pemberian wang atau dana daripada ahli atau penyokong parti yang mengharapkan sesuatu sebagai balasan. – MalaysiaGazette