Datuk Seri Mohamed Ali mendahului pencabar jawatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dengan majoriti 775 undi.
Berbaki enam cabang, penyandang Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih mendahului pencabarnya Mohd Rafizi Ramli dalam perebutan jawatan nombor dua dalam parti itu.

KOTA BARU – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli mendahului pencabarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden sempena pemilihan parti itu bagi peringkat Kelantan yang berlangsung semalam.

Menurut laman sesawang Pemilihan Keadilan 2018 di www.pemilihankeadilan2018.com, Mohd Rafizi menang dengan 289 undi selepas memperoleh 5,211 undi berbanding Mohamed Azmin yang menerima 4,922 undi.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustafa, bagaimanapun berkata, keputusan undian dipaparkan di laman sesawang berkenaan berkemungkinan berubah memandangkan terdapat lebih 400 undi meragukan yang hanya akan disahkan dalam tempoh seminggu.

“Keputusan yang dipaparkan di laman sesawang berkenaan adalah sah tetapi masih belum rasmi. Keputusan muktamad hanya selepas peti undi meragukan itu diproses,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam tadi.

Mohd Sukirman berkata, Mohd Rafizi mendapat sokongan lapan daripada 14 cabang membabitkan Kota Baru, Pengkalan Chepa, Bachok, Machang, Gua Musang, Kuala Krai, Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Beliau berkata, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi pula mendapat sokongan enam cabang, masing-masing Ketereh, Tanah Merah, Jeli, Tumpat, Kubang Kerian dan Rantau Panjang.

Dalam perkembangan sama, Mohd Sukirman berkata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan Ab Aziz Ab Kadir berjaya mempertahankan kedudukan sebagai Ketua Cabang Ketereh selepas menewaskan pencabarnya, Lukman Hakim Mustapha dengan majoriti 371 undi.

Beliau berkata Ab Aziz mendapat 453 undi berbanding Lukman Hakim yang hanya memperoleh 82 undi.

Katanya, sebanyak 43,200 anggota berdaftar layak mengundi, namun hanya lebih 10,000 anggota parti itu yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari ini. ― Bernama