Datuk Saifuddin Nasution
Datuk Saifuddin Nasution

PORT DICKSON – Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata parti itu sudah 20 tahun bertapak dalam arena politik negara dan mempunyai jentera yang kuat.

Tambah beliau, calon bebas di Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson boleh melemparkan apa sahaja tuduhan kepada Datuk Seri Anwar, namun mereka juga harus tahu bahawa parti itu berjaya membentuk kerajaan dengan gabungan parti pembangkang ketika itu tanpa salah guna kuasa.

“Jentera kami selama 20 tahun tak pernah menaung di bawah jentera kerajaan, pun begitu kami berjaya menubuhkan kerajaan jadi tidak ada alasan ketika kami dah tubuh kerajaan, kami nak guna jentera kerajaan,” katanya ketika sidang media di bilik gerakan utama Pakatan Harapan (PH), hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertuduhan calon bebas, Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa ada calon lain yang menyalah gunakan aset kerajaan ketika turun berkempen.

Dakwa Saiful, ada calon popular melanggar ikrar yang ditandatangani kepada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0).

Saiful berkata calon itu telah melanggari perkara tiga ikrar tersebut yang memperuntukkan mana-mana calon tidak boleh menggunakan sumber, kenderaan, kakitangan, program dan jentera kementerian untuk kerja-kerja pilihan raya.

Saiful bagaimanapun tidak menyebut nama mana-mana calon yang dilaporkan menyalah gunakan aset kerajaan.

Mengulas mengenai itu, Saifuddin berkata tidak patut untuk seseorang calon menolak pelawaan pengundi untuk memberikan ceramah mahupun tazkirah di kem tentera dan masjid selagi mendapat kebenaran daripada masyarakat dikawasan tersebut.

“Saya pun pergi masjid juga. Sebagai muslim saya kena pergi masjid, pergi surau. Jadi bila sekarang saya di PD, bila waktu sembahyang saya kena pergi masjid.

“Dan bila kita pergi masjid, kadang-kadang jemaah kenal kita, dia kata Datuk boleh tak sampaikan 5 minit tazkirah dan sebagai muslim, tidak baik menolak

“Dalam konteks itu, saya tak menganggap sama sekali bahawa semua nak dihadkan kepada cermin mata politik,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan