Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa sebak apabila membaca surat daripada lima banduan Penjara Bentong yang terlibat dalam projek Tenun Pahang Diraja yang diusahakan baginda. 
Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa sebak apabila membaca surat daripada lima banduan Penjara Bentong yang terlibat dalam projek Tenun Pahang Diraja yang diusahakan baginda. 

KUANTAN – Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa sebak apabila membaca surat daripada lima banduan Penjara Bentong yang terlibat dalam projek Tenun Pahang Diraja yang diusahakan baginda.

“… saya menangis dan sebak,” titah baginda menerusi akaun Twitternya @cheminahsayang yang turut melampirkan surat yang tertera cap jari kelima-lima banduan itu.

Berdasarkan surat itu, Atan, Gafar, Black, Jimi dan Panjang menjunjung kasih kepada Tunku Azizah kerana diberi peluang untuk mempelajari teknik menghasilkan kain tenun itu, bermula dari asas mewarna hingga menenun.

“… mengucapkan jutaan menjunjung kasih kerana dapat bertemu dan berbicara dengan tuanku secara berdepan memandangkan sebelum ini hanya dapat melihat dalam media masa sahaja.

“… menerima sumbangan berupa makanan yang tidak pernah patik semua mimpikan dapat menikmatinya dalam penjara… memberi peluang pekerjaan walaupun patik banduan membuatkan diri ini rasa dipercayai dan dihargai,” kata surat bertulis tangan itu.

Mereka juga menyifatkan kesudian Tunku Azizah mencemar duli bertemu dan memberi tunjuk ajar kepada mereka walaupun bergelar banduan mencerminkan keperibadian pemimpin berjiwa rakyat sebenar.

Menerusi Twitter itu juga, Tunku Azizah memuatnaik warkah penghargaan menjunjung kasih daripada Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar terhadap sumbangan baginda memperkasakan industri tekstil jabatan berkenaan.

Baginda dalam status itu juga menulis: “from my heart, with passion and utmost sincerity to help my friends the prisoners…”.(“tulus dari hati beta, dengan penuh kasih dan kejujuran untuk membantu rakan banduan beta…”)

— BERNAMA