Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersalaman dengan orang ramai pada Santai Petang Bersama Warga Pekerja Port Dickson sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Bilik Gerakan Utama (BGU) Pakatan Haparan, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 06 OKTOBER 2018.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersalaman dengan orang ramai pada Santai Petang Bersama Warga Pekerja Port Dickson sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Bilik Gerakan Utama (BGU) Pakatan Haparan, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 06 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyatakan rasa rindu terhadap suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang sibuk berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sehingga kini beliau tidak dapat berpeluang untuk berjumpa dan meluangkan masa bersama suaminya disebabkan kesibukan Ketua Umum PKR itu berkempen bertemu rakyat menjelang 13 Oktober ini.

“Dulu ketika Anwar di penjara pun tak dapat jumpa dia, sudah keluar pun tak jumpa juga,” katanya secara ringkas di sebuah majlis di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan di sini.

Para hadirin menyambut luahan perasaan pemimpin ahli Parlimen Pandan itu dengan senyuman gembira.

Terdahulu beliau hadir bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berjumpa dengan sekumpulan warga pekerja berpendapatan rendah di sini.

Dalam perkembangan sama, Presiden Pakatan Harapan itu meluahkan keyakinan suaminya akan menang dalam PRK tersebut.

Kata Wan Azizah, suaminya telah dinafikan hak terlibat dalam kancah politik selepas keluar dari penjara.

“Anda semua tahu dulu dia dinafikan..dia disingkirkan..dia dipenjarakan saya rasa lebih 17 tahun.

“Harap pada 13 Oktober ini dapat melihat dia (Anwar) menjadi wakil ahli Parlimen di sini dan berkhidmat untuk rakyat.

“Saya harap anda semua warga Port Dickson mengundi dan memberi peluang kepada beliau berkhidmat undan anda kali ini,” tegasnya lagi.

Suruhanjaya menetapkan PRK di Port Dickson selepas kerusi itu diisytiharkan kosong oleh Dewan Rakyat 12 September lalu.

Kerusi itu dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal seorang pesara tentera pada 12 September menerusi satu sidang media khas sebagai memberi laluan kepada Anwar untuk diangkat sebagai ahli Parlimen untuk mempersiapkan diri sebagai Perdana Menteri kelapan.

Menjelang hari mengundi awal pada 9 Oktober ini,seramai 577 anggota polis dan 6,693 anggota tentera akan menunaikan tanggungjawab mengundi di Port Dickson.

Daftar pemilih kali ini mengandungi 75,770 orang pemilih berdaftar yang terdiri daripada 68,486 orang pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara.

PRK Port Dickson kali ini menyaksikan seramai 75,770 orang pemilih berdaftar yang terdiri daripada 68,486 orang pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara.- MalaysiaGazette