Rafizi Ramli

KUANTAN – Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli menang tipis mengatasi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti di Pahang, semalam.

Menurut keputusan rasmi dalam laman sesawang www.pemilihankeadilan2018.com, Mohd Rafizi menang dengan memperoleh 2,388 undi, berbeza 90 undi berbanding Mohamed Azmin yang mendapat 2,298 undi.

Mohd Rafizi, yang menggunakan tagline #Reformasi20Tahun pada Pemilihan PKR 2018, menang di lapan daripada 14 cabang di Pahang iaitu Indera Mahkota, Kuantan, Paya Besar, Rompin, Maran, Jerantut, Bera dan Cameron Highlands.

Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi mendapat sokongan di Raub, Pekan, Kuala Krau, Lipis, Bentong dan Temerloh.

Keputusan terkini itu membolehkan Mohd Rafizi merapatkan jurang dengan Mohamed Azmin, iaitu kini hanya kekurangan 92 undi selepas proses pemilihan di Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu dan Kelantan.

Berdasarkan keputusan di lima negeri itu, Mohd Rafizi memperoleh 16,226 undi iaitu menang di 44 daripada 75 cabang berbanding Mohamed Azmin yang mendapat 16,318 undi (menang di 31 cabang).

Mohd Rafizi dalam kenyataan kepada media menerusi aplikasi Whatsapps mengucapkan terima kasih atas sokongan yang ditunjukkan oleh anggota PKR di Pahang sehingga membantu kemenangannya dan pasukan #Reformasi20Tahun. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan