Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Pengerusi Majlis Negera bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP), Datuk Mahfuz Omar (kanan) bertanyakan sesuatu dengan isteri arwah Adnan Othman, Nor Shahmiza Salleh (kiri) sambil diperhatikan bapa arwah, Othman Surati (dua kanan) dan Roonani Abdullah (dua kiri) selepas kejadian lemas ketika operasi dan menyelamat seorang remaja di Taman Jaya, Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 07 OKTOBER 2018.

PORT DICKS0N – Balu anggota bomba Allahyarham Adnan Othman berkata, anak-anaknya semakin memahami bapa mereka sudah tiada lagi.

Shahmiza Salleh, 31, yang bekerja sebagai Pengajar Latihan di Institut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Sungai Buloh itu berkata, kedua dua anaknya masing masing 4 dan 2 tahun setakat ini tidak menunjukkan masalah.

“Setakat ini diziarahi ramai kawan kawan tapi dia leka bermain lagi, tidak tanya mengenai ayahnya (arwah).. tidak ada masalah lagi.

“Sejak hari kejadian lagi saya dah cakap ayah dah takde, tidak akan kembali..saya ulangi setiap kali dan dia pun buat faham.

“Cuma lepas ini tidak pasti apa reaksi atau keadaan mereka berdua ini,” katanya dengan suara sayu ketika ditemui di kediamannya di Taman Jaya Lukut di sini.

Terlebih dahulu, beliau diziarahi Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP), Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz menghulurkan bantuan kewangan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sebagai membantu meringankan segala urusan harian keluarganya.

Turut hadir Pengarah JKKP Selangor Ir. Ibrahim Md Dol dan wakil JKKP Negeri Sembilan, Mohd Hafiz Mazlan.

Allahyarham Adnan merupakan antara enam anggota penyelam PPDA yang maut selepas lemas semasa terlibat dalam operasi mencari menyelamat mangsa lemas berusia 17 tahun di Puchong Rabu lalu. – MalaysiaGazette