Bursa Malaysia dibuka dengan kecenderungan negatif hari ini, berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) dan harga minyak mentah yang rendah terus mempengaruhi sentimen pasaran.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR Bursa Malaysia dijangka mengekalkan dagangan jajaran kecil minggu depan dan berada antara 1,805 dan 1,776 mata dengan ketidaktentuan luaran dijangka mengehadkan potensi peningkatan, kata ahli ekonomi.

Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran akan menumpukan kepada beberapa pengumuman mengenai ekonomi di China, daripada pelaburan langsung asing, bekalan wang kepada pinjaman baharu China.

“Selain itu, Tabung Kewangan Antarabangsa akan memberi maklumat terkini mengenai unjuran ekonomi dunia pada 9 Oktober, selain pengumuman mengenai unjuran ekonomi baharu,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, mungkin tema mengenai ketegangan perdagangan, monetari global yang ketat yang menunjukkan prospek ekonomi global mencabar pada 2019.

Di peringkat tempatan, katanya pelabur akan turut mencari lebih banyak pemangkin pasaran daripada Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dan Bajet 2019, masing-masing dijadual diumumkan pada 18 Okt dan 2 Nov.

Pasaran mencari penggubalan dasar yang lebih jelas pada masa depan, katanya.

Bagi minggu baru berakhir, bursa tempatan diniagakan dalam jajaran kecil, menjejaki pasaran Asia utama dan pasaran saham AS.

Pada Jumaat, ia terus menyusut, susulan laporan pekerjaan US Automatic Data Processing Inc, yang menunjukkan keadaan ekonomi AS yang positif.

Data menunjukkan pekerjaan dalam sektor swasta AS meningkat pada September, berikutan majikan menambah 230,000 pekerjaan, dan ini melebihi jangkaan pasaran sebanyak 179,000.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI ditutup rendah 16 mata kepada 1,777.15.

Indeks FBM Emas susut 125.59 mata kepada 12,407.63, Indeks FBMT100 merosot 122.21 mata kepada 12,214.63 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 166.74 mata kepada 12,511.82.

FBM 70 turun 194.14 mata kepada 14,679.12, manakala FBM Ace susut 156.63 mata kepada 5,230.06.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan jatuh 87.33 mata kepada 17,712.12, Indeks Perladangan susut 57.51 mata kepada 7,482.43, dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.56 mata kepada 177.00.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 9.2 bilion unit bernilai RM9.18 bilion daripada 8.17 bilion unit bernilai RM8.85 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 6.33 bilion saham bernilai RM8.49 bilion berbanding 5.74 bilion saham bernilai RM8.28 bilion dicatatkan pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.64 bilion unit bernilai RM392.29 juta berbanding 1.11 bilion unit bernilai RM236.76 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 1.54 bilion saham bernilai RM297.83 juta daripada 1.32 bilion saham bernilai RM328.55 juta. – MalaysiaGazette