Bekas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap kepada media ketika menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.foto IQBAL BASRI, 13 OGOS 2018
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak berkata, kebimbangannya mengenai kedudukan ekonomi negara semakin menjadi kenyataan.

Menurutnya, kemungkinan negara akan mengalami tiga kali ganda defisit.

Lantaran itu, beliau berharap Kerajaan Pakatan Harapan prihatin tentang kemungkinan ini.

Najib berkata, kebimbangannya apabila Bank Dunia telah menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Malah, pada minggu lalu laporan dagangan antarabangsa untuk bulan Ogos menunjukkan eksport telah menurun manakala import sudah naik dengan tinggi.

Ini menyebabkan lebihan dagangan antarabangsa jatuh dengan banyak iaitu paling rendah bagi tempoh 45 bulan.

Laporan itu juga mengesahkan eksport minyak sawit telah jatuh sebanyak 27 peratus berbanding unjuran 26 peratus yang dibuat olehnya.

“Nampaknya kebimbangan saya pada masa itu semakin menjadi kenyataan. Saya harap kerajaan PH sentiasa prihatin tentang kemungkinan berlakunya 3 kali ganda defisit ini,” kata bekas Perdana Menteri itu.

Sebelum ini, Najib pernah memberi amaran mengenai ekonomi negara yang didakwanya membimbangkan.

Katanya, lebihan dagangan antarabangsa juga jatuh teruk dalam bulan Mei dan Jun kepada RM6 bilion iaitu setengah daripada lebihan RM13 bilion untuk bulan April kerana jumlah import negara meningkat dengan pesat.

Manakala kadar pertumbuhan ekspot Malaysia telah menurun – ini mungkin disebabkan oleh Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) disifarkan dan mendorong pengguna menjurus kepada pembelian barang import.

Beliau juga telah memberi amaran tentang kemungkinan Malaysia akan menghadapi situasi defisit berganda.

Namun, Menteri Kewangan dalam maklum balasnya berkata, import kini bertambah lebih cepat daripada eksport sejak kadar GST disifarkan, selain pertambahan dalam penggunaan domestik.

Akibatnya,kata Lim Guan Eng, lebihan dagangan negara dan situasi ber kenaan turut disumbangkan oleh peningkatan aliran keluar modal sejak pilihah raya, menyebabkan lebihan akaun semasa merosot teruk.

Ia jatuh kepada AS$1 bilion berbanding AS$15 bilion dalam suku lepas.

Najib juga berkata, sehingga hari ini laporan daripada ketiga-tiga agensi penarafan antarabangsa iaitu Moody’s, Standard & Poors dan Fitch Ratings tidak ada menyebut tentang hutang negara sebanyak RM1 trilion.

Laporan terkini dari Bank Negara Malaysia juga menyatakan bahawa pada akhir bulan Jun 2018, hutang negara adalah sebanyak RM725 bilion iaitu kenaikkan dari hutang RM686 bilion pada akhir bulan 2017.

“Juga bukan RM1 trilion,” kata Najib. – MalaysiaGazette