PORT DICKSON – Pas mengambil pendirian untuk meneruskan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson sambil menanti keputusan mahkamah berhubung permohonan bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah mengenai kelayakan Anwar bertanding dalam pilihan raya tersebut.

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, parti itu merayu agar mahkamah mempercepatkan proses pendengaran saman pemula Noraziah Mohd Shariff di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Setakat ni kita teruskan PRK. Kalau mahkamah buat keputusan sebelum PRK amat baiklah.

“Kalau diteruskan juga, saya yakin mahkamah mesti buat keputusan. Kalau kita undi kedua terbanyak, kita mesti diisytiharkan pemenang (kalau Anwar diputuskan hilang kelayakan),” katanya dalam sidang media bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di markas induk parti itu di Teluk Kemang, Port Dickson.

Takiyuddin merujuk kepada fail pemula Noraziah pada 28 Sept lalu memfailkan permohonan bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah mengenai kelayakan Anwar bertanding dalam PRK Port Dickson.

Dalam afidavitnya, Noraziah menyatakan pengampunan diraja terhadap Anwar tidak mengecualikan kehilangan kelayakannya untuk bertanding kerana Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong ditubuhkan tanpa mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Memetik kata-kata bekas Ketua Hakim Negara, Tun Hamid Mohamad, Takiyuddin berkata, terdapat perbezaan antara pengampunan Diraja Penuh dengan Pengampunan Bebas oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Tun Hamid kata perkara ini mudah sahaja, seseorang yang dapat pengampunan penuh seperti Anwar walaupun duduk di luar penjara, akan hilang kelayakan.

“Sebaliknya orang yang dapat pengampunan bebas walaupun duduk dalam penjara boleh bertanding,” katanya lagi.

Pas sebelum ini menyuarakan kebimbangan bahawa pengundi di kawasan Parlimen ini mungkin terpaksa berdepan pilihan raya kecil yang kedua sekiranya mahkamah memutuskan Anwar hilang kelayakan bertanding sebagai Ahli Parlimen.

Takiyuddin berkata, Anwar yang juga Presiden PKR tidak diberikan pengampunan bebas di bawah Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan yang melayakkan beliau bertanding dalam mana-mana pilihan raya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan