logo plus

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memohon maaf kepada pengguna lebuh raya yang terperangkap di laluan Terowong Menora-Kuala Kangsar yang terperangkap di dalam kesesakan yang berlaku semalam.

Kesesakan tersebut adalah disebabkan oleh kerja-kerja memadam kebakaran, menyelamat, siasatan, pengalihan serta pembersihan laluan yang diadakan oleh pihak PLUS, PROPEL, bomba, polis serta kontraktor ekoran satu kemalangan maut yang menyebabkan lima kematian yang melibatkan sebuah treler yang membawa serbuk bijih besi (amang) dengan sebuah kereta di KM255.6 (arah utara).

Bagi membantu mengurangkan kesesakan di laluan terbabit, PLUS telah mengaktifkan laluan kontra sepanjang 3 kilometer. Selain itu, maklumat berhubung kesesakan dan kejadian terbabit telah dihebahkan menerusi papantanda elektronik di lokasi-lokasi strategik serta menerusi Twitter PLUSTrafik dari masa ke masa.

Semua mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira jam 6:30 petang dengan bantuan pihak bomba dan polis.

PLUS berasa amat kesal dengan kelewatan pembukaan semula lorong terbabit memandangkan ia melibatkan kerja-kerja pembersihan luar biasa ekoran muatan serbuk bijih besi (amang) yang dibawa oleh treler terbabit telah turut terbakar sebelum cair dan mengeras di mana ia menyukarkan lagi kerja-kerja pembersihan dan pengalihan di lokasi terbabit.

“PLUS memahami kesukaran dan ketidakselesaan yang dialami oleh pengguna yang terperangkap di dalam kejadian ini dan memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi.

“Pada masa yang sama, PLUS mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan oleh pengguna ketika kerja-kerja memadam kebakaran, pengalihan dan pembersihan dijalankan,” kata PLUS dalam satu kenyataan.

Selain itu, kira-kira 55 petugas termasuk anggota bomba dan penyelamat, pihak polis serta kontraktor lebuh raya PLUS termasuk 8 jentera terlibat dalam kerja-kerja menyelamat pengalihan dan pembersihan di lokasi.

Semua kerja-kerja pengalihan dan pembersihan di lokasi tamat kira-kira jam 2:20 pagi tadi dan semua laluan dibuka seperti biasa. – MalaysiaGazette