Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyiram air mawar di atas pusara seorang Tokoh Agama, Tan Sri Hassan Azhari di Makam Diraja Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 07 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Permaisuri Selangor mengucapkan takziah kepada engucapkan takziah kepada waris dan keluarga Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari yang meninggal dunia semalam.

Secara peribadi, Sultan Selangor berkata, beliau amat sedih kerana pemergian Allahyarham satu kehilangan besar buat baginda.

“Allahyarham pernah menjadi guru agama Beta, serta amat rapat dengan Almarhum Paduka Ayahanda dan Almarhum Paduka Nenda Beta.

“Allahyarham juga sering mengiringi Beta dan kerabat ke Mekah untuk menunaikan Haji dan Umrah, di samping kerap menyampaikan ceramah dan mengajar ilmu-ilmu agama di Istana.

“Semoga roh Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari ditempatkan bersama para solihin,” kata Sultan Sharafuddin dalam satu kenyataan.

Baginda turut berangkat ke majlis pengebumian Allahyarham Hassan di Makam Diraja Shah Alam pagi tadi.

Allahyarham meninggal dunia jam 5.07 petang semalam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana menghidap kanser limfoma tahap empat. – MalaysiaGazette