Calon Pakatan Harapan P.132 Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan pemain semasa hadir pada majlis Pertandingan Bola Sepak sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Padang Merdeka, Port Dickson, Negeri Sembilan, foto SYAFIQ AMBAK, 07 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Selama ini ramai mengetahui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak merupakan penyokong kuat kelab bola sepak paling termahal di dunia, Manchester United.

Namun, sebenarnya, selain bekas Perdana Menteri itu – Datuk Seri Anwar Ibrahim juga adalah penyokong tegar kelab the Red Devils.

MGF07102018_ANWAR PERTANDINGAN BOLA SEPAK05
Calon Pakatan Harapan P.132 Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan gimik perasmian dengan menyepak bola pada majlis Pertandingan Bola Sepak sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Padang Merdeka, Port Dickson, Negeri Sembilan, foto SYAFIQ AMBAK, 07 OKTOBER 2018.

“Saya merupakan penyokong Manchester United.

“Dari dulu lagi saya sokong pasukan gergasi itu,” katanya secara ringkas pagi tadi selepas menyempurnakan Pertandingan Bola Sepak Tujuh Sebelah Piala M.Ravi 2018 di Padang Merdeka, di sini.

Calon Pakatan Harapan Pilihan Raya Kecil Port Dickson itu berkata demikian selepas ditanya mengenai kelab bola sepak kegemarannya.

Berucap di hadapan pasukan bertanding, beliau menyeru warga pemuda Port Dickson terus mempertingkatka semangat kesukanan untuk terus membangun.

“Dalam sukan juga perlu ada sikap lawan tetap lawan tetapi dengan sikap kekeluargaan dan persahabatan sahaja,” tegasnya lagi.

Beliau turut diminta reaksi mengenai keputusan Liga Perdana Inggeris malam tadi yang menyaksikan skuad Jose Mourinho yang ketinggalan 0-2 bangkit menewaskan Newcastle United 3-2 di Old Trafford.

Anwar sekadar melemparkan senyuman ke arah wartawan sebelum beredar dari situ.- MalaysiaGazette