Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar

PORT DICKSON – Status sebagai bakal Perdana Menteri kelapan, satu-satunya kelebihan yang cukup untuk memberi kemenangan besar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berharap rakyat Port Dickson akan menerima seorang bakal Perdana Menteri sebagai wakil rakyat mereka pada 13 Oktober ini.

Katanya, partinya sudah menggerakkan jentera kempen PRK untuk mendekati dan memujuk pengundi Port Dickson yang berada di luar kawasan untuk turun beramai-ramai pada hari mengundi Sabtu depan.

Itu saya pasti, kerana beliau (Anwar) bukan berkempen untuk menjadi ahli Parlimen sahaja, malahan beliau akan memerintah kerajaan sebagai PM kelapan selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Itu cukup untuk menarik pengundi dan akan memenangkan Presiden PKR itu dengan majoriti besar yang kita harapkan,” katanya ketika ditemui di Taman Jaya Lukut di sini.

Terlebih dahulu beliau selaku Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) menziarahi balu kepada arwah Adnan Othman anggota bomba yang terkorban dalam misi mencari menyelamat di Puchong Rabu lalu.

Beliau menghulurkan bantuan kewangan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) kepada balu arwah, Shahmiza Salleh bertempat di kediaman mereka.

Turut hadir Pengarah JKKP Selangor Ir. Ibrahim Md Dol dan wakil JKKP Negeri Sembilan, Mohd Hafiz Mazlan.

Mengulas mengenai kempen PRK lagi, katanya, Anwar perlu terus berkempen mendekati masyarakat pelbagai lapisan di bandar tentera itu.

“Anwar harus bekerja keras dan kami selaku komponen PH akan terus bantu dan komitmen Tun Mahathir sendiri untuk turun esok juga bakal menjadi kelebihan kepada Anwar menang bergaya kali ini,” tegasnya.- MalaysiaGazette.