Dr Mujahid Yusuf Rawa
Dr Mujahid Yusuf Rawa

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa menyifatkan tajuk utama “Tiada lagi ketukan pintu di waktu tengah malam” yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam, sebagai tambahan dan rumusan daripada editor itu sendiri.

Katanya, beliau tidak pernah menyebut isu kononnya dihentikan pada waktu malam tidak diketuk pintu.

“Kenyataan saya dalam temubual dengan akhbar itu.. apa yang disebut dalam kepala tajuk itu tidak keluar dari mulut saya. Saya hanya bercakap mengenai isu kesalahan ataupun yang dikatakan ruang awam dengan ruang peribadi.

“Itu semua (tajuk utama) adalah tambahan daripada editor berkenaan yang mengambil rumusan mereka sendiri daripada kenyataan saya.

“Sila rujuk kepada temubual di dalamnya yang lebih tepat kepada apa maksud yang saya ingin sampaikan,” katanya semalam.

Beliau mengulas laporan media dengan menyebutnya sebagai berkata, tiada lagi ketukan atau pintu dipecahkan di tengah malam oleh penguatkuasa agama jika adanya laporan khalwat atau aktiviti menyalahi ajaran Islam.

Katanya, sebarang aktiviti yang dilakukan orang Islam di sebalik pintu yang tertutup bukan lagi urusan kerajaan.

Menurut Dr Mujahid, apa yang cuba ditonjolkannya dalam temubual itu ialah mengenai salah guna kuasa dan pencerobohan di ruang peribadi yang tidak menggambarkan kaedah dan cara Islam.

Jelas beliau, konsep nahi mungkar seharusnya tidak dilaksanakan dalam bentuk penguatkuasaan semata-mata, bahkan dakwah, pendidikan, pembinaan keluarga itu juga satu tindak balas untuk memastikan kesejahteraan hidup masyarakat.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan tindak balas beberapa pihak berhubung kenyataan yang diputar belit oleh media itu, tanpa merujuk perkara sebenar kepadanya. – MalaysiaGazette