KUALA LUMPUR – Kabinet menerima tawaran daripada MMC-Gamuda sebagai kontraktor turnkey untuk melaksanakan kerja pembinaan atas tanah MRT2 pada kos RM17.42 bilion.

Harga yang ditawarkan itu merupakan penjimatan sebanyak RM5.22 bilion berbanding kos sebelum ini RM17.42 bilion

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pengurangan ini dicapai melalui pengurangan kos dan rasionalisasi skop kerja yang masih mengekalkan kesemua stesen atas tanah.

“Akan tetapi, Kerajaan Persekutuan dan MMC-Gamuda telah gagal mencapai persetujuan dan penyelesaian untuk kos kerja-kerja bawah tanah,” katanya.

Lantaran itu, Kabinet memutuskan supaya kontrak kerja-kerja bawah tanah ditamatkan.

Kerja-kerja yang masih belum disiapkan akan ditender semula melalui kaedah tender terbuka antarabangsa.

Jemaah Menteri mengambil keputusan tersebut setelah mempertimbangkan penjimatan tambahan yang akan diperoleh melalui tender terbuka berbanding dengan tawaran pihak kontraktor.

Guan Eng menambah, Kerajaan Pakatan Harapan mahu mendapatkan nilai untuk wang bagi semua perbelanjaan kerajaan, terutama apabila sesuatu projek tersebut melibatkan pinjaman yang besar.

Penjimatan berjumlah berbilion ringgit dapat mengurangkan beban hutang dan faedah yang perlu ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan, yang akhirnya perlu dibiayai melalui pengenaan cukai ke atas rakyat pada masa hadapan.

Katanya, penjimatan RM5.22 bilion atau 23 peratus berbanding kos asal untuk kerja-kerja atas tanah telah berjaya dicapai dan penjimatan tambahan akan diperolehi apabila kerja-kerja
bawah tanah ditender semula secara terbuka tidak lama lagi.

Di samping itu, penjimatan kos projek ini akan mengurangkan kadar tambang yang perlu dibayar oleh pengguna MRT, sekaligus meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di kalangan penduduk Lembah Klang.

Projek MRT2 itu sebelum ini telah diluluskan oleh Kabinet kepada MMC-Gamuda pada 26 Februari 2014 dengan anggaran awal berjumlah RM28 bilion.

Kos ini tidak termasuk fi perunding, fi PDP, faedah pinjaman dan kos operasi MRTCo.

Ketika itu syarikat usaha sama itu dilantik sebagai rakan pelaksana projek (PDP) untuk melaksanakan projek ini.

Walau bagaimanapun, kos keseluruhan MRT2 telah melambung naik kepada RM56.93 bilion akibat faktor-faktor seperti kelulusan Railway Scheme yang melibatkan jajaran baharu ke Bandar Malaysia, perubahan skop, penurunan nilai ringgit dan lain-lain.

Kos ini terdiri daripada kos pembinaan RM39.35 bilion, kos
pengambilan tanah RM6.18 bilion, kos bas perantara dan depot RM0.36 bilion, lain-lain kos sebanyak RM1.2 bilion, serta anggaran kos faedah semasa pembinaan
RM9.84 bilion- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan