PORT DICKSON –  Tan Sri  Mohd Isa Samad berpendapat kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke kawasan ini tidak semestinya boleh menambah undi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Meskipun begitu, Calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson itu berkata, kehadiran Dr Mahathir ke Port Dickson tidak canggung kerana status beliau sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

“Saya tidak nampak sama ada kedatangan Tun Dr Mahathir ke Port Dickson boleh menambah undi Anwar atau memberi ruang kepada rakyat untuk menambah undi saya atau mengurangkan undi Anwar.

“Kita tengok keadaan esok bagaimana. PRK ini tentu berbeza daripada PRU, kita tengok dulu keadaan,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette di Kelab Golf Port Dickson.

MGF07102018_KEMPEN ISA SAMAD_10

Sebaliknya, Isa berkata, kehadiran Perdana Menter itu tidak akan dapat menggoyahkan kempen beliau yang dimulakan selepas proses penamaan calon 29 September lalu.

“Bagi saya kehadiran Tun Dr Mahathir bukan satu yang pelik kerana beliau adalah Pengerusi PH, tentulah beliau membantu calon PH.

“Saya tidak ada masalah untuk Tun Dr Mahathir turun kempen di PD,” katanya lagi.

Dr Mahathir dijadualkan hadir ke Port Dickson jam 8 malam esok dan akan duduk sepentas dengan Anwar selepas 20 tahun.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Kekosongan Parlimen itu dibuat selepas bekas Timbalan Perdana Menteri itu menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden PKR. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan