Lee Zii Jia

KUALA LUMPUR – Lee Zii Jia meraih kemenangan sulung dalam saingan utama musim ini apabila menjuarai Terbuka Taiwan sebentar tadi.

Kejayaan pemain berusia 20 tahun itu cukup bermakna kerana menamatkan penantian 14 tahun Malaysia selepas kali terakhir oleh Datuk Lee Chong Wei pada 2004.

Pada perlawanan akhir itu, Zii Jia menumbangkan Riichi Takeshita dari Jepun 21-17, 16-21, 21-11 dalam tempoh 62 minit yang berlangsung di Arena Taipei.

Kemenangan tersebut membolehkan dia membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$37,500 (RM155,512).

Pada saingan separuh akhir semalam,
pemain kelahiran Kedah itu membuat kejutan menumbangkan pilihan utama yang juga pemain No. 4 dunia, Chou Tien-chen.

Zii Jia menewaskan wakil tuan rumah itu 17-21, 21-14, 24-22 dalam pertarungan sengit yang berlangsung selama 80 minit.

Selain Zii Jia dan Chong Wei, dua lagi pemain negara yang pernah menjuarai pertandingan tersebut adalah Misbun pada 1987 dan Wong Choong Hann (2003).

Jii Zhia yang diramal menjadi pengganti Chong Wei oleh jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek baru pulih daripada kecederaan belakang hingga memaksa menarik diri daripada Sukan Malaysia 2018 di Perak bulan lalu. – MalaysiaGazette