Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) masih belum membincangkan tentang pelantikan ahli-ahlinya dari luar negara.

Menteri Hal-Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu akan dibincangkan nanti.

Beliau yang juga ahli Lembaga Pengarah memberitahu, sayap pelaburan milik kerajaan itu memerlukan golongan profesional yang betul untuk mengendalikan pelbagai perkara.

“Tetapi isu ini kita belum bincang, tiada perbincangan lagi.

“Khazanah memerlukan kumpulan profesional untuk mengendali dan menguruskan Lembaga Pengarah,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama di Khazanah MegaTrends Forum 2018, hari ini.

Azmin berkata demikian sebagai mengulas spekulasi tentang pelantikan asing dalam Lembaga Pengarah Khazanah.

Pelantikan itu, lapor The Star merupakan sebahagian daripada strateginya untuk meneroka kepelbagaian kepakaran.

Memetik sumber sebagai berkata, pelantikan itu membabitkan profesional dari Amerika Syarikat, Jepun dan pengasas salah sebuah firma kecerdasan buatan China yang disokong oleh Alibaba.

Pelantikan profesional luar itu merupakan tambahan kepada pengarah-pengarah baharu sedia ada yang dilantik pada bulan Julai lalu.

Lembaga Pengarah baharu Khazanah daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dan ahli-ahli lain ialah Tan Sri Hassan Merican, Sukhdave Singh dan Goh Chin Yin, selain Azmin.

Pelantikan baharu itu selepas sembilan Lembaga Pengarah lama ditamatkan selepas kerajaan baharu Pakatan Harapan mengambil alih selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu. – MalaysiaGazette