Wan Azizah
Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden PH, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berucap pada Ceramah Mega Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di PD Waterfront, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 08 OKTOBER 2018

PORT DICKSON – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata rakyat Port Dickson mempunyai pilihan untuk memberikan peluang kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menuntut hak yang dinafikan selama ini.

Menurut beliau, tiba masanya Anwar yang juga suaminya untuk kembali ke Dewan Rakyat setelah membantu kerajaan Pakatan Harapan (PH) merampas Putrajaya pada Mei lalu.

“Apabila kita ada PRK. Kenapa nak tukar dari Datuk Daniyal kepada Anwar Ibrahim, kerana Anwar dinafikan hak untuk bertanding selama 20 tahun.

“Kami pohon berikan peluang untuk beliau masuk dalam Parlimen jadi wakil rakyat bagi pulihkan negara,” katanya dalam ucapan Ceramah Mega PRK Port Dickson bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim di bilik gerakan utama PH, di Teluk Kemang.

Wan Azizah antara kepimpinan utama PH yang selesai memberikan ucapan selepas Presiden Parti Amanah (Amanah), Mohamad Sabu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan beberapa Ahli Parlimen dibawah PH.

Ceramah mega PRK Port Dickson menyaksikan pertemuan kali pertama di khalayak ramai dua pemimpin PH, iaitu Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan