Lee Chong Wei
Lee Chong Wei

SUBANG – Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah di sini malam tadi selepas dua bulan menjalani rawatan di Taiwan.

Bekas pemain nombor satu dunia itu mendapatkan rawatan di sana selepas disahkan menghidap kanser hidung tahap awal.

Pemenang tiga pingat perak perseorangan lelaki Sukan Olimpik itu berjaya mengelak untuk menemui pihak media apabila tiba menaiki pesawat yang disewa khas pada pukul 9.19 malam.

Sejak pagi tadi, pihak media mula menunggu kepulangan Chong Wei di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam mengesahkan pemain berusia 36 tahun itu akan pulang ke tanah air dari Taiwan, hari ini.

Selain itu, terdapat pihak media yang menunggu bekas pemain nombor satu dunia itu di KLIA2 dan Subang.

Namun Chong Wei memberitahu beliau akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat ini.

Beliau memaklumkan perkara itu apabila membalas pesanan aplikasi WhatsApp kepada salah seorang pihak media yang sedang menunggu ketibaannya di KLIA. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan