Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap pada sidang media berkenaan isu semasa di Kementerian Kewangan, Presint 2, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 25 SEPTEMBER 2018.
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil keputusan menurunkan kadar Cukai Jualan bagi sesetengah barangan yang biasa digunakan untuk golongan bawahan hasil maklum balas yang diterima daripada orang ramai.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, antara barangan yang telah diturunkan cukai baharu itu adalah penyapu yang diturunkan kepada lima peratus berbanding 10 peratus sebelum ini.

Dalam pada itu, 1,300 peniaga mengunjungi 10 kiosk and 12 Kaunter Pertanyaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dibuka selama empat hari di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan, Kelana Jaya sejak Selasa lepas.

“Dua pegawai khas dari Pejabat Menteri Kewangan bersama pegawai kastam telah berjaya menangani sebahagian besar daripada aduan, masalah dan pertanyaan berkaitan perlaksanaan SST.

“Bagi isu-isu melibatkan dasar yang tidak boleh diselesaikan di peringkat Kastam, ianya akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Guan Eng, berikutan sambutan hangat yang diterima daripada para peniaga, Kementerian Kewangan dan Kastam memutuskan untuk meneruskan operasi kaunter pertanyaan tersebut sehingga semua kekeliruan berhubung cukai tersebut dapat diselesaikan. – MalaysiaGazette