Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa bergambar bersama wakil-wakil Mufti dan tetamu yang hadir pada Persidangan Meja Bulat Falsafah Dan Tatacara Hukuman Jenayah Syariah Dalam Mencapai Matlamat Rahmatan Lil Alamin di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 08 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa kesal kenyataannya dalam temu bual eksklusif bersama akhbar berbahasa Inggeris dilaporkan seolah-olah menggambarkan beliau cuba menamatkan sebarang usaha kebaikan untuk umat Islam di negara ini.

“Di sinilah isunya yang telah menimbulkan salah faham bahawa perbincangan kita itu seolah-olah membawa usaha untuk menamatkan apa-apa untuk umat Islam.

“Perbincangan itu untuk menjelaskan bahawa penguatkuasa agama sebelum sebarang operasi penguatkuasaan mesti menimbangkan semula tentang ruang peribadi dan ruang awam.

“Bagi orang Islam biasa, siapa yang lihat kemungkaran kena tegah dengan tangannya, kalau tidak mampu dengan lidahnya, kalau tidak mampu juga dengan hati,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Falsafah dan Tatacara Hukuman Jenayah Syariah Dalam Mencapai Matlamat Rahmatan Lil Alamin di Dewan Persidangan IAIS Malaysia.

Katanya lagi, beliau hanya menegur penguatkuasa agama dalam menjalankan operasi penguatkuasaan yang ada kalanya melanggar prinsip dan perundangan Islam sendiri.

“Saya kata ada kelemahan-kelemahan di mana jejaskan penguatkuasa, malah ada yang salah guna kuasa sehingga mencemarkan prinsip.

“Tidak menjaga kehormatan, aib, kalau tidak bawa prinsip ini maka dia tidak jalan penguatkuasaan dengan prinsip

“Itu saja yang saya kata, yang lain saya tak tahu, saya ada transkrip dia, itulah niat saya, di Malaysia bila cakap soal Islam akan jadi isu yang sensitif.

“Daripada isu ini baru kita tengok pemikiran tahap kita bagaimana. Ada sesetengah orang tidak tengok transkrip penuh, apa yang dikatakan dia hanya ambil tajuk utama lalu maki hamun dan cerca,” katanya lagi. – MalaysiaGazette