Daim Zainuddin

KUALA LUMPUR – Tun Daim Zainuddin mendakwa, Low Taek Jho ada menawarkan diri untuk mendapatkan aset-aset yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

Selain itu, individu paling dikehendaki kerana terlibat dalam penyelewengan dana syarikat milik kerajaan itu bersedia mendedahkan satu atau dua nama individu yang terlibat.

“Saya tidak tahu peranan apa yang beliau main. Saya kata, mengapa anda tidak balik dan berbincang dengan saya,” kata Daim dalam satu wawancara dengan Channel News Asia.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan itu berkata, Jho Low yang mendakwa beliau seorang yang baik, turut meminta diberikan imuniti.

“Saya beritahu dia tidak. Jika dia perlukan bantuan, lebih baik dia balik dulu, jadi kita boleh bincang.┬áKenapa dia melarikan diri,” katanya.

Daim percaya Jho Low tidak bersendirian dalam melakukan penipuan.

Sebaliknya, beliau mempunyai penasihat-penasihat yang bagus dalam kalangan kakitangan bank yang melaksanakan rancangannya.

“Dia mempunyai penasihat yang baik. Jho Low bayar mereka dengan lumayan,” kata Daim yang mengulas spekulasi bagaimana ahli perniagaan itu boleh melakukan penipuan bukan sahaja di Malaysia tetapi dalam sistem perbankan dunia.

Daim menambah, fokus kerajaan hanya mahu mendapatkan wang rakyat semula.

Meskipun waran tangkap dan notis merah telah dikeluarkan oleh Interpol, tetapi Jho Low masih bebas ke mana-mana.

Menurut bekas Menteri Kewangan itu, pada sambutan hari raya awal Julai lalu, beliau menerima maklumat bahawa Jho Low berada di sebuah hotel di luar negara bersama keluarganya.

Namun, Jho Low ‘hilang’ dari hotel itu dalam tempoh sejam.

“Dia ada pengikut-pengikutnya di mana-mana – menggunakan wang pembayar cukai. Dia juga mampu untuk membayar peguam terbaik.

“Saya diberitahu, dia membelanjakan lebih daripada AS$40 juta untuk yuran undang-undang sahaja,” ujar Daim. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan