Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa.

PETALING JAYA – Pihak berkuasa agama perlu mengkaji kaedah terbaik melaksanakan hukuman sebat bagi memastikan kehormatan dan keaiban pesalah dilindungi ketika dijalankan di khalayak umum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, lokasi dan jumlah kehadiran ketika hukuman syariah itu dijalankan perlu ditetapkan dengan menjaga kemaslahatan pesalah.

“Pihak berkuasa agama berkaitan perlu mengkaji kaedah terbaik pelaksanaan sebatan.

“Pelaksanaan sebatan yang kita bincang bukan cara menyebat dan perkara itu jelas bahawa sebatan Islam amat berbeza dengan sebatan sivil.

“Kita bincang macam mana sebatan itu nak dilakukan di mana, siapa yang boleh menyaksikannya supaya tidak berlaku lagi  limpahan kepada sebatan yang dilakukan.

“Walaupun sebatan tersebut dalam mahkamah tertutup tapi kehadiran dan tumpuan orang terlalu ramai.

“Ia boleh menyebabkan takut kepada pelaksanaan hukuman syariah itu disalah anggap sebagai satu perkara yang menjadi tontotan semua pihak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Falsafah dan Tatacara Hukuman Jenayah Syariah Dalam Mencapai Matlamat Rahmatan Lil Alamin di Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan (IAIS), di sini, hari ini.

Mujahid berkata, bagi tujuan itu, pihaknya juga akan mengadakan satu pertemuan bersama ulamak, cendiakawan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pengamal syariah di Masjid Sultan Mizan Putrajaya pada 11 Oktober ini.

“Isu ini ditangani bukan secara sentimen atau emosi tapi ditangani dengan lebih berilmu dan akhirnya memberi input kepada kami macam hari ini macam mana nak turun ke negeri-negeri.

“Saya amat memahami isu-isu ini ada sensitiviti antarta Persekutuan dengan negeri.

“Sekurang-kurangnya kami bukan memaksa tapi memberikan input berguna dan nasihat kepada negeri dalam usaha untuk menyelaraskan isu-isu perundangan syariah di Malaysia ini,” katanya. – MalaysiaGazette