Daim Zainuddin

KUALA LUMPUR – Keadaan ekonomi Malaysia pada hari ini jauh lebih sukar dan rumit ekoran masalah yang ditimbulkan oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Tun Daim Zainuddin berkata, duit kerajaan telah dicuri dan dibazirkan.

Lantaran itu, katanya, Kerajaan Pakatan Harapan memerlukan masa sebelum ekonomi negara boleh diletakkan pada landasan sebenar.

“Saya telah diminta untuk melibat angka-angka, menganalisis dan kemudian kembalikan semula kepada Perdana Menteri. Ia akan mengambil masa sebelum ekonomi boleh dipulihkan semula,” katanya dalam wawancara bersama Channel News Asia.

Daim pernah dilantik sebagai Menteri Kewangan dua kali semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri keempat.

Kali pertama semasa tahun 1980-an dan kedua ketika negara dilanda Krisis Ekonomi Asia.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan itu akan meneliti Bajet 2019 yang bakal dibentangkan oleh Lim Guan Eng pada 2 November ini.

Daim berkata, satu pilihan bagi melonjakkan semula kewangan adalah menyenaraikan beberapa aset kerajaan dalam pasaran saham.

“Majlis Penasihat Kewangan telah mengkaji cadangan yang dikemukakan berhubungan kewangan. Kita tidak menasihati untuk menjual aset-aset terus ke pasaran.

“Mana-mana syarikat yang menguntungkan, kami mengesyorkan mereka untuk mendapatkan tawaran awam permulaan (IPO), mewujudkan nilai dan menggelakkan rakyat Malaysia melabur di syarikat-syarikat ini,” katanya.

Memandangkan kedudukan kewangan semasa, Daim meminta kerajaan berterus terang kepada rakyat tentang janji-janji manifesto.

Jelasnya, kerajaan perlu jujur mengenai perkara ini.

“Rakyat Malaysia sangat baik, sabar dan memahami. Jika anda menerangkan kepada mereka, mereka akan memahami dan menerima.

“Tunaikan segala yang dijanjikan dalam manifesto dan jika atas apa juga alasan anda tidak dapat (menunaikannya), jelaskan. Rakyat boleh bertolak ansur jika anda jujur dengan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette