Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa menafikan telah mengeluarkan arahan perpindahan pendakwah, Zamihan Mat Zin dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Dr Mujahid Yusuf Rawa

KUALA LUMPUR – Gabungan Ilmuan Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah (NUNJI) mengesahkan frasa atau ayat yang digunakan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris ketika menyiarkan kenyataan Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa sebagai kesimpulan sendiri yang berbaur fitnah.

Jurucakapnya berkata, pihaknya telah meneliti kenyataan asal Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dengan laporan yang disiarkan akhbar berkenaan terutama tajuknya, jelas bercanggah sehingga menimbulkan salah faham masyarakat terhadap pemimpin itu.

Katanya, frasa digunakan akhbar itu, “Tiada lagi polis moral”, “Tiada lagi tangkapan khalwat malam atau pencerobohan ke atas kehidupan peribadi orang Islam”, dan “Tiada lagi ketukan di pintu pada tengah malam dan tiada lagi pemecahan pintu oleh pihak berkuasa agama yang menyiasat laporan khalwat atau lain-lain kesalahan yang disyaki” merupakan ayat yang ditafsirkan sendiri oleh wartawan berkenaan.

“Menteri tidak menyatakan operasi mencegah maksiat harus dihentikan, sebaliknya Menteri menegaskan mengenai perbezaan ruang individu dan ruang awam dari segi tindakan sebagai kerajaan.

“Dr Mujahid juga menjelaskan persoalan wartawan sama ada di masa akan datang pencegah maksiat akan memecahkan pintu dan menangkap orang yang melakukan maksiat.

“Jawapan Menteri bahawa beliau akan menasihati pihak berkuasa agensi di bawah pentadbirannya agar lebih rahmah dan berhikmah dengan tidak menceroboh ruang-ruang peribadi,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Menurut jurucakap itu, Dr Mujahid ada menyebutkan wujud kes penyalahgunaan kuasa yang memerlukan penambahbaikan dari segi prosedur dan menegaskan kerajaan terikat dengan peruntukan undang-undang yang membezakan kuasa kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Tetapi, katanya, Menteri itu akan menyediakan platform perbincangan dengan Pengarah-Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri.

“Ingatlah, dosa akibat perbuatan mulut, dalam konteks hari ini termasuklah tular menerusi sebaran media sosial adalah lebih dahsyat daripada dosa peribadi perlakuan zina dan seumpamanya.

“Pelaku dosa peribadi itu boleh bertaubat terus kepada Allah dan Allah sangat suka hamba-Nya yang bertaubat dan kembali kepada-Nya.

“Tetapi, bagaimana pula dengan dosa akibat perbuatan mulut dan tangan yang menularkan perkara yang salah terhadap seseorang atau mana-mana pihak sehingga menyebabkan ramai umat Islam terjerumus melakukan dosa umpat, keji dan maki hamun terhadap pihak berkenaan?” soal jurucakap itu. – MalaysiaGazette