Jenazah Allahyarham bekas CEO Cradle Fund Nazrin Hassan telah dibawa keluar dari Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9 , Kota Damansara untuk bedah siasat kali kedua.
Jenazah Allahyarham bekas CEO Cradle Fund Nazrin Hassan telah dibawa keluar dari Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9 , Kota Damansara untuk bedah siasat kali kedua.

PETALING JAYA — Jenazah Allahyarham bekas CEO Cradle Fund Nazrin Hassan telah dibawa keluar dari Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9 , Kota Damansara untuk bedah siasat kali kedua.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara berkenaan.

“Ya betul, saya mengesahkan jenazah Allahyarham Nazrin dbawa keluar dari tanah perkuburan itu dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat dalam kenyataan berkata proses bedah siasat jenazah Allahyarham Nazrin akan dijalankan petang ini.

Proses penggalian semula kubur Allahyarhan Nazrin yang bermula 8.30 pagi ini selesai pada 12.45 tengah hari.

Jenazah Allahyarham Nazrin diiringi beberapa kenderaan polis.

Hari ini, Mahkamah Rayuan Putrajaya menolak permohonan isteri mangsa untuk menangguhkan proses penggalian kubur suaminya.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Okt membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Allahyarham Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk membantu siasatan polis berhubung kes bunuh mangsa itu.

Pada 3 Ogos lepas, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun lepas yang pada mulanya dilaporkan sebagai berpunca akibat letupan telefon bimbitnya.

— BERNAMA