Menteri Pengangkutan Anthony Loke bercakap pada sidang media mengenai kemalangan maut Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora di Pejabat Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 08 OKTOBER 2018
Menteri Pengangkutan Anthony Loke bercakap pada sidang media mengenai kemalangan maut Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora di Pejabat Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 08 OKTOBER 2018

PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook melahirkan rasa marah dan kecewa beliau berhubung insiden kemalangan maut berhampiran terowong Menora kelmarin yang terjadi kerana kecuaian pemandu lori.

Menurut Loke, siasatan awal mendapati pemandu lori tersebut hilang kawalan ketika memandu sehingga melanggar ‘mati’ sekeluarga itu walaupun tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun didapati positif dadah jenis ‘methamphetamine’.

“Akibat kemalangan ini, sebuah keluarga seramai lima orang termasuk seorang bayi mati renting setelah tersepit. Bayangkan lima orang dalam sekelip mata? Pemandu ini juga memiliki 28 saman lampau dengan berbaki dua saman masih aktif.

“Ketika ini, pemandu sudah ditangkap dan kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

“Pada masa yang sama, saya juga telah arahkan syarikat pengendali lori ini, syarikat Usaha Maju Trading Sdn Bhd yang memiliki 28 permit kenderaan lain untuk digantung selama dua minggu. Semua kenderaan perlu kembali ke depoh.

“Kita juga tahu penggantungan seperti ini akan ‘menyusahkan’ pengendali syarikat tetapi mesej kita amat jelas, kita tidak akan sesekali berkompromi dengan isu melibatkan keselamatan lagi. Bukan sahaja pemandu, penguasaha dan majikan juga perlu ambil tanggungjawab apatah lagi melibatkan kemalangan nyawa.

“Kita mahu selepas ini pengendali syarikat seperti ini supaya mengambil perhatian serius terhadap kebajikan pemandu mereka juga, perlu patuh dengan peraturan dengan lebih fokus dan betul. Jangan sampai ‘malang tidak berbau’, baru semua orang mahu ambil perhatian.

“Dalam isu ini, saya amat marah sekali kerana pemandu itu positif dadah, dia hilang kawalan sehingga melanggar sekeluarga ini. Ini langsung tidak boleh kita terima sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya sebentar tadi.

Loke mengulas kemalangan lima dipercayai sekeluarga disahkan rentung dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan kereta di Kilometer 255.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Terowong Menora, Sabtu lepas.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, treler membawa muatan bijih besi yang dikatakan dalam perjalanan daripada Batu Pahat, Johor ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan sebelum menghimpit kereta berkenaan ke pembahagi jalan konkrit di tengah laluan. – MalaysiaGazette