SME Bank
Aria Putera Ismail

KUALA LUMPUR- SME Bank melancarkan produk khusus untuk usahawan wanita, MySMELady yang membolehkan mereka mendapat pembiayaan sehingga RM1 juta dengan cagaran minimum.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aria Putera Ismail, pemohon yang berjaya akan diberi pilihan untuk membuat pengeluaran wang sehingga 30 peratus daripada jumlah pembiayaan modal kerja melalui kad debit Bank Islam.

“MySMELady yang dirangka khusus untuk usahawan PKS wanita diperkenalkan bagi membina komuniti yang menyokong pemerkasaan wanita melalui program-program pembangunan usahawan,” katanya ketika berucap di majlis pelancancaran SME Bank Xcess 2018 di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Tambah Aria, usahawan MySMELady akan secara automatik menjadi ahli MySMELady Biz Club dan layak menikmati pelbagai kemudahan eksklusif antaranya program pembangunan usahawan, peluang perniagaan, pemasaran, komunikasi berkesan dan perundingan imej sebagai seorang usahawan.

Selain MySMELady, SME Bank turut melancarkan satu lagi produk baharu MySMExport dengan sasaran kepada usahawan yang mahu meluaskan pasaran mereka ke peringkat antarabangsa.

Kemudahan tersebut turut disasarkan kepada usahawan yang telah mempunyai tapak di peringkat global namun masih bercita-cita untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing.

Mereka layak mendapat pembiayaan sehingga RM5 juta da tiada cagaran dikenakan bagi pembiayaan modal kerja.

Usahawan yang menerima pembiayaan MySMExport akan mendapat akses kepada program-program sokongan perdagangan yang dikelolakan oleh Lembaga Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) serta berpeluang menikmati kemudahan perdagangan dengan Bank Muamalat.-MalaysiaGazette