Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menafikan laporan yang menyatakan Putrajaya ada meminta bantuan bekas menteri tugas-tugas khas Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk membantu memulihkan hubungan diplomatik Malaysia dengan Arab Saudi.
Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Satu kenyataan rasmi berhubung status sebenar hubungan Malaysia dengan Arab Saudi akan dikeluarkan oleh Kementerian Luar kedua-dua negara dalam masa terdekat.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata ia bagi menjelaskan kedudukan semasa hubungan diplomatik Kuala Lumpur-Riyadh yang dikatakan terjejas selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan negara ini.

“Satu kenyataan berkenaan perkara ini akan dikeluarkan serentak oleh kerajaan PH dan kerajaan Arab Saudi secepat mungkin, sama ada hari ini atau esok.

“Secara dasar yang boleh saya katakan ketika kunjungan hormat oleh Duta Besar Arab Saudi Mahmoud Hussein Saeed Qattan tiga bulan lalu, saya sudah jelaskan yang sama berkenaan pendirian Malaysia dalam hubungan bersama Arab Saudi,” katanya selepas merasmikan Pameran Umrah, Haji dan Pelancongan Antarabangsa Kesembilan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan portal Malaysian Insight bahawa kerajaan telah meminta pertolongan bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk memulihkan hubungan Malaysia-Arab Saudi.

Menurut Saifuddin lagi, beliau juga sudah bertemu dengan Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-73 di New York baru-baru ini.

“Setakat ini tidak ada dasar (hubungan luar) yang berubah dan tiada apa yang tergugat. Semasa pertemuan itu kami bersetuju untuk terus bekerjasama dan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan