TERKINI : Penguatkuasa Agama Perlu Ada Waran Sebelum Buat Serbuan – Mujahid

Pihak berkuasa agama perlu mendapatkan waran geledah terlebih dahulu sebelum mereka dibenar mengetuk pintu atau memasuki premis tertentu yang disyaki berlaku sesuatu yang menyalahi agama Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mujhid Yusof Rawa berkata, penguatkuasa agama tidak boleh sewenang-wenangnya menceroboh mana-mana premis sebaik sahaja menerima aduan orang ramai.

“Tak semudah terus pergi (serbuan), masih ada beberapa isu yang kita perlu periksa dan perkara ini kita sedang tambah baik.

Ia tidak semudah kita boleh serbu hanya disebabkan ada orang buat aduan.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) timbul bila kita terima aduan. Mana-mana aduan yang datang kepada pihak berkuasa mesti pertamanya disiasat.

“Bila disiasat, mereka perlu mendapatkan waran sebelum boleh ketuk pintu selepas semua proses telah disiasat di mana ada sesuatu berlaku dalam tempat itu.

“Mereka perlukan waran sebelum masuk dan itu juga SOP bagaimana mereka menjalankan tugas seperti minta nama dan kad pengenalan,” katanya pada sidang media di Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan (IAIS), di sini, hari ini.