PORT DICKSON – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menetapkan masa dan tarikh bagi mengadakan forum di antara mereka.

Abdul Hadi berkata, beliau bersedia untuk membuat perjumpaan dengan Dr Mahathir tanpa syarat.

“Apa sahaja isu yang difikirkan wajar oleh perdana menteri, beliau boleh tentukan. Apa sahaja isu yang munasabah.

“Apa pun isunya kita kena rancang bila tiba masanya. Tidak boleh tentukan sekarang, kena hormat orang tua,” katanya ketika ditemui media selepas selesai mengadakan ceramah dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Markas cawangan Kampung Bukit Tembok, Linggi.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan media mengenai kesediaan Dr Mahathir untuk mengadakan forum bersamanya.

Ia ekoran kenyataan Abdul Hadi bahawa beliau sedia untuk berforum dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebaik Dr Mahathir tiba di Port Dickson.

Dr Mahathir berkata, beliau sedia mempertimbangkan hasrat Hadi pada waktu lain namun tidak semasa kempen PRK Port Dickson.

Dr Mahathir semalam menolak hasrat Hadi yang mahu berkongsi pentas dengannya.

Menurutnya, beliau tidak dapat melayan permintaan Hadi ketika ini kerana mahu berkempen untuk calonnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tak payahlah. Malam esok saya ke Port Dickson tapi bukan nak berforum dengan dia. Saya nak pergi berkempen untuk Anwar,” katanya kepada pemberita di majlis makan malam Persatuan PBB Malaysia semalam.

Dr Mahathir akan sepentas dengan Anwar bagi menarik undi di kawasan itu pada 13 Oktober depan.

Ini kali pertama kedua-dua pemimpin itu sepentas di hadapan umum setelah mengalami pergeseran politik selama 20 tahun. -MalaysiaGazette