Siti Hasmah Mohamad Ali
Isteri kepada Perdana Menteri dan juga merupakan adik kepada Allahyarham Tun Ismail Md Ali, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali yang tidak dapat menahan perasaan sedih ketika Majlis Pelancaran Buku Bertajuk ‘Tun Ismail Ali Paragon of Trust and Intergrity’ di Auditorium Sasana Kijang, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 08 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah dicurigai oleh iparnya Allahyarham Tun Ismail Mohamad berhubung pembelian sebuah rumah di ibu negara.

Perkara tersebut diceritakan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang memberitahu abangnya bersikap demikian terhadap iparnya iaitu Dr Mahathir yang ketika itu merupakan pegawai tinggi kerajaan dan berstatus menteri pendidikan.

Siti Hasmah berkata, untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu, Ismail yang dipanggil sebagai ‘abang ngah’ telah menelefon dan meminta beliau supaya hadir ke pejabatnya di Bank Negara.

“Saya dipanggil ke pejabatnya tiba-tiba. Dia tidak memberitahu saya kenapa, dia mahu saya berjumpanya di pejabat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada hadirin ketika berucap pada majlis pelancaran buku sempena memperingati 100 tahun kelahiran Tun Ismail, bekas Gabenor Bank Negara di sini hari ini.

Menceritakan mengenai perkara itu, Siti Hasmah berkata, sejurus tiba beliau telah dibawa oleh salah seorang staf terus ke pejabat abangnya dengan perasaannya ketika itu berdebar.

“Sebelum saya boleh duduk, dia berkata: “Hasmah, di mana Mahathir mendapat wang untuk membeli rumah itu?”

“Saya sangat terkejut,” ujarnya.

Hasmah berkata, beliau kemudian memaklumkan kepada Ismail bahawa pembelian rumah baharu itu adalah hasil penjualan rumah mereka di Alor setar, Kedah.

Katanya, oleh kerana suaminya merupakan penjawat awam mereka juga telah membuat pinjaman untuk membeli rumah baharu.

“Dia menjawab hanya ‘hmmm’. Itulah yang dia katakan,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

Dalam pada itu Siti Hasmah berkata, beliau tidak dapat menyembunyikan perasaan kasih dan sayangnya terhadap abang ngahnya itu.

Malah, perasaan tersebut turut dirasai dalam sanubarinya terhadap keluarga dan isteri Allahyarham, Toh Puan Maimunah Abdul Latif.

Siti Hasmah turut berkongsi cerita bahawa Tun Ismail merupakan seorang perokok tegar.

Meskipun, telah diberikan amaran beberapa kali berhubung kesan tidak baik kerana merokok namun, ia tidak diendahkan.

Beliau berkata, Ismail mempunyai ramai kenalan dari Amerika Selatan dan setiap kali datang ke Malaysia mereka akan menghadiahkan abangnya itu cerut.

“Pernah sekali dia (Ismail) dimasukkan ke hospital kerana mengalami masalah paru-paru. Saya pergi menziarahinya dan terkejut apabila saya menemui berkotak-kotak cerut disebelahnya.

“Saya sangat kecewa. Saya beritahu padanya, anda tidak sepatutnya merokok, tetapi dia berkata itu adalah tabiatnya.” tambahnya.

Siti Hasmah memberitahu, beliau kemudian telah menulis sekeping nota di pintu bilik wad untuk memberitahu rakan-rakan abangnya agar tidak lagi menghadiahkan cerut.

“Apabila dia tahu tentang perkara itu, dia meminta kakitangan hospital membuang nota tersebut dan misi saya untuk mengelak dia daripada terus merokok gagal,” katanya lagi.

Siti Hasmah turut memberitahu, Ismail merupakan lelaki sejati dan tidak pernah lupa adab walaupun berada di rumah.

“Apabila saya pergi ke rumahnya, dia akan membuka pintu kereta untuk saya dan mengiringi saya.

“Ketika pulang ke rumah, dia akan berjalan-jalan dengan saya. Saya rindukan dia,” ceritanya yang kemudian bertukar menjadi sebak.

Ismail berkhidmat sebagai Gabenor Bank Negara pada tahun 1962 hingga 1980.

Beliau meninggal dunia pada tahun 1998 dalam usia 79 tahun. – MalaysiaGazette