SOFIA – Seorang wartawan penyiaran popular Bulgaria ditemui mati dalam keadaan ngeri selepas dirogol sebelum dibunuh di Danube, utara bandar Ruse semalam.

Agensi melaporkan, wartawan tersebut, Viktoria Marinova, 30, mati dipercayai dihentak kepala menggunakan objek keras selain daripada kesan tembakan sebelum dilemaskan di dalam kolam berdekatan sebuah kawasan riadah di Danube.

Menteri Dalam Negeri, Mladen Marinov mengesahkan wanita itu telah diperkosa terlebih dahulu sebelum dibunuh dan dilemaskan di kolam berhampiran.

“Pembunuhan ini bukan sahaja mengejutkan malah sangat tidak berperikemanusian. Kes ini sangat penting dan saya telah arahkan pasukan terbaik untuk segera menyiasat insiden ini dengan segera.

“Kita tidak pasti lagi seandainya kes ini berkait rapat dengan kerjaya Marinova atau tidak tetapi kita akan dapat jawapannya dalam masa segera,” katanya.

Antara yang kini menjadi perbualan ialah tentang program bual bicara dikendalikan oleh Marinova yang dikenali sebagai ‘Detector’ oleh stesen televisyen, TVN.

Rancangan tersebut walaupun hanya baru dilancarkan sudah menjadi popular berikutan menyentuh pelbagai isu sensitif termasuk politik dan jenayah sekitar Eropah.

Episod pertama pada 30 September lalu memaparkan wawancara bersama wartawan penyiasatan, Dimitar Stoyanov dari laman web Bivol.bg dan Attila Biro dari Rise Project Romania berhubung dakwaan penipuan membabitkan dana Kesatuan Eropah (EU) yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dan ahli politik ternama.

Pasangan itu ditahan pihak polis ketika cuba menghentikan proses memusnahkan dokumen yang dikaitkan dengan skim berkenaan.

Pembunuhan wartawan bukan sesuatu yang baharu di Eropah sebaliknya sebelum ini tiga termasuk Marinova sudah mengalami nasib sama di EU pada tahun ini.

Antaranya, wartawan penyiasatan terkenal Malta, Daphne Caruana Galizia yang terbunuh apabila keretanya diletupkan bom dan wartawan Slovakia, Jan Kuciak ditembak mati pada bulan Februari.

Bulgaria menduduki tangga ke-111 daripada 180 negara dalam Indeks Kebebasan Jurnalis Tanpa Batasan Dunia pada tahun ini. – Malaysia Gazette

Tinggalkan Jawapan