Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah diberikan notis untuk datang ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu ini.

Presiden UMNO itu dikehendaki tiba di SPRM pada pukul 10 pagi, kata Datuk Lokman Noor Adam.

Ini merupakan kali ketiga Ahmad Zahid dipanggil SPRM.

Kali pertama pada Julai lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipanggil ke SPRM berhubung dana Yayasan Akal Budi.

Beliau kemudian ke SPRM buat kali kedua berhubung dana sebanyak RM2.6 bilion.

Sementara itu, Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang pada awalnya  mengajak ahli-ahli UMNO untuk bersama-sama hadir di ibu pejabat SPRM sebagai tanda soldariti pada pukul 9.30 pagi membatalkan hasrat tersebut.

“Atas permintaan YB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO. Perhimpunan #Solidariti4ZahidHamidi di hadapan Ibu Pejabat SPRM jam 9.30 pagi, 10hb Oktober, 2018 adalah dibatalkan sehingga proses pendakwaan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini. – MalaysiaGazette