Khalid Samad
Khalid Abdul Samad. foto HAZROL ZAINAL, 14 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya meningkatkan hasil kerajaan sebanyak RM149 juta melalui 23 transaksi tanah berbanding perjanjian sebelum ini pada harga rendah dan merugikan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, 23 transaksi tanah yang dirunding semula itu melibatkan keluasan tanah berjumlah 256.96 ekar.

“Keseluruhan tanah dalam rundingan semula itu terletak di Parlimen Bandar Tun Razak, Batu, Bukit Bintang, Cheras, Kepong, Segambut, Seputeh, Setiawangsa dan Titiwangsa.

“Rundingan ini juga telah memperolehi sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebanyak RM6 juta kepada pihak kerajaan.

“Kerajaan juga berjaya mendapat serahan balik tanah melibatkan keluasan berjumlah 12.46 ekar dengan nilai tanah sebanyak RM113.8 juta,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DBKL, di sini, hari ini.

Khalid juga berkata, daripada 23 rundingan transaksi tersebut, 16 telah selesai dan dimuktamadkan.

“Tiga rundingan memerlukan penilaian semula daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), tiga transaksi tidak mencapai kata sepakat dan satu daripadanya akan melibatkan perbincangan antara peguam di mahkamah,” katanya.

Sebelum ini, Khalid berkata DBKL mendapat kebenaran daripada kerajaan untuk melengkapkan penjualan 43 lot tanah awam yang tertangguh susulan tuduhan bahawa ia rundingan yang meragukan.

Katanya, penjualan 10 lot lain dihentikan, dan tanah itu dikembalikan kepada DBKL dengan bayaran ganti rugi kepada bakal pembeli.

Julai lalu Khalid  berkata pihaknya akan menjalankan siasatan dalaman berhubung penjualan 64 lot tanah kerajaan oleh DBKL kepada pemaju.

Katanya  pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan itu, sekiranya ada unsur salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah. – MalaysiaGazette