Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memulakan lawatan kerja sehari beliau ke Indonesia pada Selasa dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia Joko Widodo.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memulakan lawatan kerja sehari beliau ke Indonesia pada Selasa dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia Joko Widodo.

BOGOR (Indonesia) – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memulakan lawatan kerja sehari beliau ke Indonesia pada Selasa dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia Joko Widodo.

Dalam pertemuan 30 minit di Istana Presiden Bogor, Dr Wan Azizah dan presiden yang lebih dikenali dengan nama Jokowi, membincangkan pelbagai perkara membabitkan hubungan dua hala.

Dr Wan Azizah diiringi Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin. Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Menteri Luar Indonesia Retno LP Marsudi dan Menteri Sekretaris Negara Muhadjir Effendy.

Lawatan Dr Wan Azizah ke Indonesia adalah kunjungan pertama beliau ke negara berjiran sejak dilantk sebagai timbalan perdana menteri pada 21 Mei susulan kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum Mei lepas.

Aturcara lawatan beliau yang padat termasuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla dan pertemuan dengan Menteri Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak Yohana Susana Yembise.

Dr Wan Azizah juga dijadual melawat Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana untuk mengikuti taklimat tentang tugas penyelarasan semasa yang dilaksanakan oleh pusat berkenaan untuk menghantar bantuan kemanusiaan dari negara anggota ASEAN kepada mangsa gempa bumi dan tsunami baru-baru ini di Sulawesi Tengah.

Lewat petang Selasa, timbalan perdana menteri akan bertemu kapten industri Indonesia dan diaspora Malaysia di Jakarta.

Indonesia adalah sebuah daripada rakan akrab dan jiran terpenting bagi Malaysia.

Pada 2017, jumlah dagangan dua hala yang dicatatkan berjumlah RM72.63 bilion, peningkatan sebanyak 22 peratus berbanding 2016, menjadikan Indonesia rakan dagang global ketujuh terbesar bagi Malaysia dan rakan dagang ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN selepas Singapura serta Thailand.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan